Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek berkata, kesalahan tidak meletakkan tanda harga merupakan kesalahan yang paling iaitu 46 kes diikuti menggunakan alat timbang dan sukat yang tidak sah (39), menaikkan harga (lapan) dan meletakkan harga mengelirukan (lima).
Menurutnya, beliau telah mengarahkan pegawai penyiasat di setiap negeri mempercepatkan siasatan supaya peniaga terbabit didakwa di mahkamah dalam tempoh terdekat mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999.
Beliau menegaskan, pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan peniaga yang mengambil kesempatan dan kementerian juga berpuas hati dengan kesedaran pengguna apabila semakin banyak aduan diterima sejak GST dilaksanakan.
Sehingga semalam, 2,883 aduan diterima dan 43,161 pemeriksaan telah dilakukan.
“Aduan yang sering dilaporkan adalah berkaitan kenaikan harga makanan dan minuman di restoran atau kedai, kad prabayar telefon bimbit, susu tepung bayi dan lampin bayi. Aduan ini diterima melalui bilik gerakan serta media sosial seperti Facebook dan Twitter.
“Saya berpuas hati kerana GST dilaksanakan dalam keadaan terkawal di seluruh negara dengan semua pihak memberi kerjasama. Ada 11 syarikat besar yang sudah berikrar dengan kerajaan untuk tidak menggunakan GST sebagai alasan untuk menaikkan harga seperti persatuan syarikat petrol, penternak, Nestle dan lain-lain,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, Hasan hadir pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Koperasi Pegawai-Pegawai Melayu Malaysia Berhad (Moccis) dan Samsung Malaysia Electornic (SME) Sdn. Bhd.
MoU itu bakal memudahkan penjawat awam memiliki produk Samsung seperti telefon bimbit, televisyen, mesin basuh, alat pendingin hawa dan lain-lain dengan harga istimewa melalui Skim Pembiayaan al-Aslah Moccis.
Menurut Hasan, pihaknya juga telah merampas barang-barang bernilai RM9,196 dan mengeluarkan kompaun serta-merta sebanyak RM14,650 ke atas peniaga atas pelbagai kesalahan.